Wednesday, January 6, 2010

Pencetus, Penerus bukan Pemutus

Tajuk entri ini tiada kena mengena dengan lagu nyanyian Ella yang berjudul 'Permata Pemotong Permata' kalau tak silap saya. Cetusan tajuk ini adalah berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Barangsiapa yang mengadakan satu jalan untuk kebaikan, baginya kebaikan pahala dan kebaikan pahala dari orang yang melakukannya. Dan barangsiapa yang mengadakan satu jalan untuk kejahatan, ke atasnya dosa dan dosa orang yang melakukannya."

Betapa indah hidup apabila tujuannya adalah mencari kebaikan. Pasti yang dikejar adalah sesuatu yang kembali memberi manfaat untuk kehidupan untuk bekalan dunia sementara dan jauh lebih penting adalah bekalan alam kekal di kampung akhirat. Hidup di dunia ini terlalu singkat. Amanah umur yang Allah kurniakan buat kita entah bila akan ditarik. Semuanya telah termaktub mengikut aturan-Nya.

Justeru, tiada yang lebih bermakna dalam kehidupan seorang muslim melainkan apabila kehidupan singkat ini mampu menghimpunkan sebanyak mungkin amalan kebaikan sama ada yang dilakukannya untuk dirinya atau diajarkannya kepada yang lain. Amanah ilmu yang dikurniakan Allah juga terlalu sedikit, seumpama mencelup air ke dalam lautan, yang tinggal di jemari itulah misalan ilmu seluruh manusia di atas bumi ini.

Maha Pengasih dan Maha Penyayangnya Allah buat umat akhir zaman ini. Kebaikan sedikit andai dikongsi dan dilebarkan untuk manfaat bersama mampu menatijahkan pahala yang berganda. Alangkah indah andai kebaikan itu kita yang memulakan, lalu sesiapa yang mengikutnya akan beroleh pahala dan perkongsiannya juga kembali buat diri kita. Namun, sebaliknya andai kejahatan yang kita mulakan, kejahatan itu akan membelit diri dengan dosa setiap kali ada yang melakukannya.

Mengejar kebaikan jauh dari hasad, dendam, tamak dan rakus. Allah mengajar kita fastabiqul khairat. Tiada saingan negatif untuk sesama mukmin yang mencari reda-Nya. Yang dituntut buat kita adalah melakukan kebaikan walau sebesar mana sekali pun yang kita mampu. Andai ada yang memulakannya, tiada salah kita mengikutinya namun jangan sesekali kita memutuskan kebaikan tersebut.

Imtiyaz Training cuba berdiri di tengah ribuan konsultan motivasi yang telah berdiri gah dan kukuh. Andai ada yang memandang kecil pada usaha ini, jawapan kami, inilah kemampuan kami. Andai ada yang mencari kekurangan kami, kami terima dengan penuh rasa rendah diri. Kami bukan pencetus kepada beribu kebaikan yang telah dikongsi kini, tetapi kami sekadar mahu menjadi penerus kepada sekian banyak kebaikan yang diperolehi melalui jalan ini. Doakan mudah-mudahan kita juga tergolong dalam kalangan mereka yang menerus bukan memutuskan jalan kebaikan ini.

Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah.

Ayuh, cemerlang bersama Imtiyaz!

Hj Nor Azman bin Hj Mohamad
Master Trainer, Imtiyaz Training & Motivation

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Imtiyaz Training | by TNB