Saturday, March 27, 2010

Melakari Cinta

Iman itu cinta. Mungkin ada yang tanya saya. Kenapa iman itu cinta? Tak pernah dengar pun. Atau sekadar retorik untuk menjadikannya popular. Maklumlah sekarang ini macam-macam istilah pelik, bombastik, kelihatan menarik orang cipta. Tujuannya apa? Apa lagi nak cari popularitilah. Kadang-kadang perkataan itu langsung tak tahu apa matlamat dan tujuannya.

Baca seterusnya di blog Ustaz Khir Johari Abas.

Tuesday, February 23, 2010

Saya nak LUPAkan dia

Di antara bukti keesaan Allah SWT kepada manusia adalah menciptakan otak manusia dengan penuh kehebatan dan keunikan. Otak manusia mampu menyimpaan jutaan maklumat di dalam tempoh masa yang tertentu. Maklumat yang disimpan didalam otak disebut sebagai ingatan atau memori. Manusia menyimpan setiap memori dan perjalanan kehidupannya di dalam kotak memori yang unik ini. Ingatan ini adalah merupakan anugerah Allah kepada manusia.

Dengan anugerah ingatan ini, kita mampu mengingat dan meraikan hari-hari indah di dalam hidup ini. Sebagai contoh memori kita terhadap hari lahir, ulang tahun perkahwinan dan ulang tahun pertemuan pertama. Walau bagaimanapun tidak semua yang ada di dalam memori tersebut mampu dikenang dan diingat kembali. Adakah kita masih mengingat wajah jururawat yang menyambut kelahiran kita ? Adakah kita masih mengingat baju yang dipakai tiga hari selepas majlis perkahwinan kita ? Adakah kita masih mengingat apakah perkataan pertama yang kita ucapkan semalam ? Ketidak mampuan kita mengingat ini merupakan suatu fenomena yang dinamakan sebagai lupa.

Baca seterusnya di blog Ustaz Khir Johari bin Abas.

Wednesday, February 17, 2010

Lagi elok kalau LUPA

Lupa merupakan suatu fenomena yang sentiasa dihadapi oleh setiap manusia. Tidak ada seorang manusia pun yang mampu mengelakan fenomena ini berlaku terhadap dirinya. Kita akan pasti terlupa. Gejala lupa ini pasti akan terjadi sama ada disebabkan secara langsung atau secara tidak langsung. Biasa berlaku di kalangan masyarat umumnya tertinggal kunci kerata di meja makan, tertinggal jam tangan di dalam tandas bahkan yang paling menyedihkan tertinggal anak di pusat membeli belah. Semua ini termasuk di dalam kategori lupa. Dari sudut pandangan perubatan lupa adalah satu fenomena biasa bagi kebanyakan individu tidak kira tua atau muda malahan kanak-kanak, seperti lupa sekejap di mana meletakkan satu-satu barang sebelum menjumpainya semula. Namun terdapat juga jenis lupa yang berpunca daripada penyakit seperti epilepsi yang boleh membuatkan seseorang leka seketika tentang apa yang sedang dilakukan atau didengarnya.

Keadaan terlupa berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak, dewasa atau orang tua. Salah satu punca paling kerap mengapa seseorang individu menjadi lupa ialah kerana terlalu banyak masalah atau perkara yang sedang difikirkan, sibuk atau akibat tekanan.

Lupa juga dikenali sebagai amnesia dan terbahagi kepada beberapa jenis. Paling kerap, lupa secara spontan berpunca daripada sikap yang gemar mengabaikan sesuatu perkara dan cuai.

Baca seterusnya di blog Ustaz Khir Johari bin Abas.

Saturday, February 13, 2010

Perasan Bertempat

"Saya rasa dia selalu mengata saya ustaz," kata seorang peserta tingkatan satu dengan kening berkerut. Ada kesan-kesan bengkak di matanya. Barangkali sebab lama menangis.

"Mana kamu tahu dia mengata kamu?" Saya kembali bertanya.

"Saya rasa, sebab dia orang berbisik-bisik." Kata peserta itu lagi dengan kening tertunduk. Barangkali berasa sangat rendah diri dengan tubuhnya yang gempal.

"Kamu perlu perasan. Orang lelaki pun perlu perasan. Perasan ini perasan bertempat." Kata saya.

"Kamu perlu perasan yang mereka mengata kamu. Sikap perasan ini akan mengelakkan buruk sangka kepada kawan-kawan, dan kamu akan sentiasa fokus. Kamu mesti perlu kembali muhasabah niat mengikuti program ini, ingat macam yang ustaz selalu sebut, kekurangan kamu sebenarnya adalah suatu kelebihan."

Baca seterusnya di blog Ustaz Amiza Khusyri bin Yusof.

Thursday, January 21, 2010

Nilai Sebuah Kasih Sayang (buat yang memahami)

Saya diminta oleh seorang guru dari SK Jimah Lama untuk memberi motivasi kepada ibubapa dan anak-anak muridnya, agar dengan motivasi tersebut masing-masing mengetahui tugas dan tanggungjawab. Saya rasa cukup berat kerana masa yang diberikan cuma 2 jam. Alhamdulillah dengan kekuatan yang Allah berikan saya telah berusaha melakukan yang terbaik dan memberi yang terbaik sekadar yang mampu. Program sebegini, nilainya bukanlah pada habuan dan pujian tetapi pada nilai amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Jika kerana habuan pasti ramai yang akan menggagahkan diri melaksanakannya.

Saya mulakan sesi dengan bertanya kepada pelajar mengenai cita-cita dan mpian mereka, tidak cukup dengan itu, saya minta mereka bertanya kepada ibubapa yang hadir, apa yang ibubapa mahukan daripada mereka. Sesi itu berjalan dengan penuh ceria. Saya memulakan sesi muhasabah dengan mengajak anak-anak menyelami siapa diri mereka dan jasa ibubapa mereka. Setiap ibu punya impian yang cukup tulus untuk anak-anaknya berjaya. Seorang ibu tidak mengimpikan kejayaan anaknya untuk kepentingan dirinya tapi apa yang diinginkan hanyalah kejayaan demi masa depan anak-anaknya. Saya mengharapkan benar agar semua pelajar dan ibubapa memahaminya. Sesi muhasabah saya akhiri dengan mengajak para pelajar memohon restu daripada ibubapa mereka yang hadir. Suasana berlangsung dalam keadaan yang syahdu, tambah tersentuh apabila ada seorang pelajar yang sudah kematian ibunya, tidak henti-henti menangis menahan kesedihan. Saya pohonkan kepada seorang guru untuk mendakap pelajar tersebut dengan kasih sayang.

Sesi soal jawab menemukan saya dengan soalan yang mencabar, saya cuba memberikan jawapan menurut ilmu yang saya miliki. Semoga semuanya berpuas hati dengan apa yang telah saya berikan. Apabila terlibat di dalam program sebegini, hati saya cukup sayu. Saya berada dalam dua kesedihan. Sedih apabila memikirkan jasa seorang ibu yang diabaikan anak-anak, dan sedih mengenangkan tanggungjawab sebagai ibubapa yang mengabaikan anak-anak. Saya sering berdoa, "Ya Allah, didiklah anak-anakku menjadi anak-anak yang soleh dan solehah." Sepertimana harapan semua ibubapa di dunia ini begitu juga saya, mahukan yang terbaik untuk anak-anak walaupun kadang-kadang serasa masa untuk diluangkan bersama mereka terlalu singkat demi meneruskan perjuangan membangun anak dan generasi Islam. Saya serahkan segalanya kepada Allah. Terima kasih buat isteri yang banyak memberikan kekuatan di dalam hidupku selama ini. Sayang ummi!

Anak-anak abah, Auni Maisarah & Muhammad Abrar, membesarlah sayang dengan menghargai Kasih Sayang dari-Nya. Ingatlah, kasih sayang makhluk sekadarnya, tapi kasih sayang Allah sangat luas dan tiada batasan.

Haji Nor Azman bin Mohamad,
Master Trainer, Imtiyaz Training & Motivation.

Wednesday, January 13, 2010

Sentiasa Positif!

Saya sering berkongsi dengan audien mengenai baik sangka sama ada sesama makhluk bahkan yang lebih utama kepada Allah. Setiap kejadian dan peristiwa yang menimpa kita adalah merupakan suatu ketentuan yang terbaik dari Allah buat kita pada masa tersebut. Namun akal kita yang menilai baik dan buruk itu sukar menerimanya. Namun, setelah berlalu beberapa tempoh masa, akhirnya yang berlaku itu mengundang jutaan manfaat buat kita, lalu keluarlah ungkapan 'nasib baik' daripada mulut kita.

Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah kepada hamba-hamba-Nya tidak membebankan kita melainkan sesuatu yang terbaik dan yang mampu untuk kita pikul. Renungi firman-Nya dalam surah Al- Baqarah ayat 286 :

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami.

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah kemaafan kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Bagaimana menjadikan diri kita sentiasa positif dan bersangka dengan sangkaan yang baik kepada Allah SWT?

1. Kenalilah siapa diri kita. Sebagai hamba kepada Yang Maha Berkuasa, apalah daya kita menentukan sesuatu mengikut kehendak diri kita, sedang diri kita adalah milik Allah SWT.

2. Berlapang dada dengan keadaan senang dan sulit. Sebagaimana kita boleh merasakan nikmat itu datang daripada-Nya, begitu juga yang perlu kita rasakan apabila ditimpa kesulitan. Semuanya itu adalah 'sentuhan' dari-Nya buat kita. Mereka yang sebegini keadaannya sangat hebat bahkan dikagumi oleh kekasih-Nya yang mulia Nabi Muhammad SAW. Nabi SAW bersabda dengan mafhumnya; dikagumi keadaan orang beriman itu apabila diberi nikmat dia bersyukur, apabila ditimpa musibah dia bersabar.

3. Istiqamah di dalam munajat dan ibadat. Tiada suatu pengaduan yang lebih sempurna dan melegakan melainkan alunan munajat seorang hamba kepada Allah. Munajat itu didengar oleh yang Maha Mendengar dan disambut dengan penuh kasih sayang. Cuma kita jangan terlalu gopoh. Allah maha bijaksana menentukan yang terbaik buat kita, bukan menurut permintaan kita tetapi mengikut kehendak-Nya. Mengadu kepada-Nya saat kesulitan sahaja adalah bukti lemahnya keyakinan kita kepada-Nya. Sebagai hamba, kita mesti meletakkan kekuatan sebenar adalah dari-Nya, dan pada diri kita adalah pinjaman yang sementara.

Justeru, bersangka baiklah kepada Allah nescaya anda akan bahagia untuk selamanya.

Di sini, dikongsikan pula nilai bersangka baik sesama makhluk. Latih diri kita untuk mengasihi bukan untuk membenci!

1. Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik daripadamu. Ucapkan dalam hatimu :

“Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi daripadaku."

2. Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :

“Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepada-Nya. Tentu anak ini jauh lebih baik daripadaku.”

3. Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):

“Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama daripadaku, tentu dia lebih baik daripadaku.”

4. Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :

“Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik daripadaku.”

5. Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :

“Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepada-Nya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik daripadaku.”

6. Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :

“Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin pada akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh."

Salam positif daripada Team Imtiyaz Training!

Haji Nor Azman bin Mohamad,
Master Trainer, Imtiyaz Training & Motivation.

Tuesday, January 12, 2010

Sehebat namamu, Muttaqin

Usai Kem Khalifah Imtiyaz. Dua hari yang terakhir itu, bersengkang mata, mengerah emosi dan otak supaya ligat berfikir dan membaca gelagat peserta.

Saya tidak pernah selesai menitipkan tiga pesanan kepada peserta-peserta bertuah ini sepanjang sesi bersama saya :

1) Jadilah pemimpin, bersama Rasulullah di hatimu selalu.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Al-Ahzaab : 21)

2) Jadilah pemimpin, dengan melihat melalui pandangan mata ibu, yang sentiasa memandang anak-anak dengan penuh kasih sayang.

"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapamu, anya kepada Akulah kembalimu." (Luqman : 14)

3) Jadilah pemimpin, seperti air yang tekal mengalir, walau apa sahaja yang menghalang laluannya.

"Dan dia memacakkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersamamu, (dan dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk." (An-Nahl : 14)


Harapan yang tinggi

Mengendalikan slot bersama peserta-peserta ini adalah sesuatu yang istimewa, kerana saya pernah berada di tempat mereka, dan mendapat pendidikan di sekolah yang sama. Bercerita tentang pengalaman disulami rasa kasih sayang kepada sekolah, barangkali menjadikan mereka seronok dan teruja untuk mendengar. Maka tahulah saya, hati mereka telah saya pegang dengan baik. Saya telah berjaya membina jambatan hati dengan mereka.

"Ustaz, mesti datang di sekolah kami, untuk beri ceramah atau sekadar berjumpa dengan kami." Kata seorang peserta.

Dan paling menyentuh apabila seorang peserta yang baru kehilangan ayah, membaca kalimah-kalimah terakhir titipan buat ibubapanya dengan mengatakan, "Saya dah anggap ustaz-ustaz di sini sebagai ibu bapa saya."

Saya merangkulnya, tanpa mampu menahan air mata. Benarlah sentuhan sesaat itu tidak mampu menandingi kata-kata seminit.

Pesanan terakhir

Saya berkata kepada para peserta pada malam terakhir Kem Khalifah Imtiyaz, "Jangan lupakan kenangan selama 3 hari ini, ingat dan tanam memori ini kejap-kejap dalam hati kamu. Kami tidak berkuasa memberikan hidayah, hanya Allah yang Maha Berkuasa memberikan hidayah itu."

Saya menarik nafas dalam-dalam, lantas teringat kisah Rasulullah yang inginkan hidayah kepada bapa saudara yang dikasihinya, Abu Talib.

"Insya-Allah, selagi ingatan kamu kepada kami dan program ini berpanjangan, selagi itulah, kamu akan ingat apa yang telah kamu lalui dan pesanan-pesanan saya semasa dalam program ini."

Pada hari yang terakhir, saya tersentuh dengan satu surat daripada peserta lelaki dengan katanya, "Saya tak puas hati sebab tak dapat peluk ustaz, pinjam bahu ustaz."

Dan sebelum menaiki bas, peserta yang menulis surat itu menghampiri saya, dengan novel Menjadi Bintang pemberian saya sebagai peserta terbaik di tangan, dan berkata, "Boleh saya salam ustaz dan pinjam bahu ustaz."

Saya mendakapnya, dan mendoakan kehebatan untuknya dan peserta-peserta lain, sehebat namanya - Muttaqin.


Baca juga di blog Ustaz Amiza Khusyri Yusof.
 

©2009 Imtiyaz Training | by TNB