Thursday, January 21, 2010

Nilai Sebuah Kasih Sayang (buat yang memahami)

Saya diminta oleh seorang guru dari SK Jimah Lama untuk memberi motivasi kepada ibubapa dan anak-anak muridnya, agar dengan motivasi tersebut masing-masing mengetahui tugas dan tanggungjawab. Saya rasa cukup berat kerana masa yang diberikan cuma 2 jam. Alhamdulillah dengan kekuatan yang Allah berikan saya telah berusaha melakukan yang terbaik dan memberi yang terbaik sekadar yang mampu. Program sebegini, nilainya bukanlah pada habuan dan pujian tetapi pada nilai amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Jika kerana habuan pasti ramai yang akan menggagahkan diri melaksanakannya.

Saya mulakan sesi dengan bertanya kepada pelajar mengenai cita-cita dan mpian mereka, tidak cukup dengan itu, saya minta mereka bertanya kepada ibubapa yang hadir, apa yang ibubapa mahukan daripada mereka. Sesi itu berjalan dengan penuh ceria. Saya memulakan sesi muhasabah dengan mengajak anak-anak menyelami siapa diri mereka dan jasa ibubapa mereka. Setiap ibu punya impian yang cukup tulus untuk anak-anaknya berjaya. Seorang ibu tidak mengimpikan kejayaan anaknya untuk kepentingan dirinya tapi apa yang diinginkan hanyalah kejayaan demi masa depan anak-anaknya. Saya mengharapkan benar agar semua pelajar dan ibubapa memahaminya. Sesi muhasabah saya akhiri dengan mengajak para pelajar memohon restu daripada ibubapa mereka yang hadir. Suasana berlangsung dalam keadaan yang syahdu, tambah tersentuh apabila ada seorang pelajar yang sudah kematian ibunya, tidak henti-henti menangis menahan kesedihan. Saya pohonkan kepada seorang guru untuk mendakap pelajar tersebut dengan kasih sayang.

Sesi soal jawab menemukan saya dengan soalan yang mencabar, saya cuba memberikan jawapan menurut ilmu yang saya miliki. Semoga semuanya berpuas hati dengan apa yang telah saya berikan. Apabila terlibat di dalam program sebegini, hati saya cukup sayu. Saya berada dalam dua kesedihan. Sedih apabila memikirkan jasa seorang ibu yang diabaikan anak-anak, dan sedih mengenangkan tanggungjawab sebagai ibubapa yang mengabaikan anak-anak. Saya sering berdoa, "Ya Allah, didiklah anak-anakku menjadi anak-anak yang soleh dan solehah." Sepertimana harapan semua ibubapa di dunia ini begitu juga saya, mahukan yang terbaik untuk anak-anak walaupun kadang-kadang serasa masa untuk diluangkan bersama mereka terlalu singkat demi meneruskan perjuangan membangun anak dan generasi Islam. Saya serahkan segalanya kepada Allah. Terima kasih buat isteri yang banyak memberikan kekuatan di dalam hidupku selama ini. Sayang ummi!

Anak-anak abah, Auni Maisarah & Muhammad Abrar, membesarlah sayang dengan menghargai Kasih Sayang dari-Nya. Ingatlah, kasih sayang makhluk sekadarnya, tapi kasih sayang Allah sangat luas dan tiada batasan.

Haji Nor Azman bin Mohamad,
Master Trainer, Imtiyaz Training & Motivation.

0 comments:

Post a Comment

 

©2009 Imtiyaz Training | by TNB